Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) terus komited dalam melibatkan pelbagai pihak berkepentingan daripada agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan serta pertubuhan seperti Persekutuan Berbasikal Negara Brunei Darussalam, dan Pemoda Bersepadu (Persatuan Motorsikal Darussalam), dan sekolah-sekolah memandu, melalui penganjuran bengkel merangka Pelan Strategik MKKJR bagi Tahun 2026-2030 yang telah diadakan di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC).
Bengkel dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, selaku Setiausaha kepada Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR).
Sesi bengkel ini telah difasilitasi oleh Yang Mulia Ketua Bahagian Penyelidikan dan Strategi, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC).
Bengkel ini diharap dapat memberikan hala tuju yang lebih jelas dan tersusun dalam merangka Pelan Strategik MKKJR 2026-2030, yang akan menjadi panduan utama bagi pelaksanaan dasar dan inisiatif keselamatan jalan raya di negara ini.
Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) akan terus komited dalam memperkukuhkan kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan keselamatan jalan raya sentiasa menjadi keutamaan demi melindungi nyawa dan kesejahteraan semua pengguna jalan raya di Negara Brunei Darussalam.